Memandikan mayat ialah sekurang-kurangnya dengan meratakan air ke seluruh tubuh badan mayat sehingga semua najis dibersihkan (hingga ke faraj bagi perempuan dan ke dalam kulub zakar bagi lelaki)
- Mandikan mayat di tempat yang tertutup. Ketika mayat dimandikan jangan dibiarkan orang ramai masuk mengerumuni jenazah kecuali orang yang memandikan dan petugasnya atau waris rapat si mati sahaja.
- Tanggalkan pakaian si mati dan tutup aurat si mati dengan kain atau sebagainya ketika dimandikan.
- Mayat hendaklah dibaringkan di atas sekeping papan atau diletakkan di tempat yang lebih tinggi dari lantai ketika dimandikan.
- Gunakan air tawar atau air masin yang sejuk untuk memandikan mayat. Tetapi jika air itu lalu sejuk bolehlah dicampur dengan sedikit air panas.
- Sebelum atau sesudah mayat dimandikan, jenazah hendaklah diwudukkan.
- Bersihkan semua najis yang terdapat pada tubuh si mati termasuk menekan perutnya untuk mengeluarkan najis.
- Terlentangkan mayat dan cuci kemaluannya dengan tangan kiri yang berbalut.
- Bersihkan pula gigi, mata, lubang hidung dan kedua-dua telinga mayat termasuk di celah-celah kuku.
- Basuh kepala dan janggut, sikat rambutnya dengan hati-hati supaya tidak gugur. Rambut yang gugur sebelum atau selepas dimandikan hendaklah dikapankan bersama-sama mayat.
Cara Menjirus Mayat
- Jirus perlahan-lahan dimulai daripada bahagian hadapan sebelah kanan tengkuk ke hujung jari kaki.
- Kemudian miringkan mayat ke sebelah kiri untuk menjirus bahagian kanan sebelum menjirus bahagian kiri.
- Semasa menjirus gosoklah dengan sabun atau sebagainya.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Mandikanlah dia tiga kali atau lima kali atau lebih, jika kamu pandang baik lebih dari itu hendaklah dengan air serta daun bidara dan basuhan yang penghabisan sekali hendaklah dicampurkan dengan kapur barus".
- Jika selepas dimandikan mayat tersebut terdapat najis yang masih keluar, maka memadai dibersihkan najis itu tanpa memandikan semula.
- Lap mayat itu hingga kering dan dikafankan.
- Bacalah doa-doa yang sesuai.
- Setelah selesai, jenazah hendaklah disembahyangkan serta dikebumikan dengan segera.
Siapa yang berhak memandikan mayat?:
1. Mayat lelaki hanya boleh dimandikan oleh tukang mandi lelaki sahaja. Tidak boleh dimandikan oleh orang perempuan kecuali isteri dan mahramnya sahaja. Jika isteri dan mahramnya berada di sisi mayat, yang lebih berhak memandikan jenazah ialah isterinya.
2. Mayat perempuan hanya boleh dimandikan oleh tukang mandi perempuan sahaja. Tidak boleh dimandikan oleh orang lelaki kecuali suami dan mahramnya. Jika suami dan mahramnya berada di sisi mayat, yang lebih berhak memandikan jenazah ialah suaminya.
3. Jika berlaku seseorang lelaki meninggal dunia dan di sekelilingnya langsung tidak ada orang lelaki, maka cara memandikan mayat itu ialah dengan tayammum sahaja. Begitu juga sebaliknya jika seseorang perempuan meninggal dunia dan tidak ada orang perempuan lain.
4. Bagaimanapun mayat kanak-kanak lelaki atau perempuan boleh dimandikan oleh sama ada tukang mandi lelaki atau perempuan.
Mengkafan
- Selepas dimandikan, jenazah hendaklah dikapankan. Kain kapan hendaklah diambil daripada harta si mati. Jika simati tidak meninggalkan harta, hendaklah diambil daripada waris-waris si mati. Andainya tidak ada juga hendaklah diambil daripada Baitumal. Dan sekiranya Baitumal juga tidak ada, maka jatuhlah kewajipan itu ke atas orang-orang Islam lain yang mampu.
- Disunatkan kain kapan itu bewarna putih. Panjang kain kapan itu sekurang-kurangnya selapis dan menutup keseluruhan tubuh si mati. Sebaik-baiknya kain kapan itu sebanyak tiga lapis untuk si mati dewasa lelaki atau kanak-kanak.
- Manakala sebanyak lima lapis diperlukan sebagai kain kapan perempuan (dewasa dan kanak-kanak) yang menutupi seluruh tubuh badannya.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Hendaklah kamu memakai kain yang putih, kerana sesungguhnya kain putih itu kain yang sebaik-baik dan kapankalah mayat kamu dengan kain putih itu"
- Kain kapan sebaik-baiknya diusap atau diasapi dengan benda-benda yang harum seperti setanggi atau gaharu.
- Hamparkan kain itu selapis-selapis dan ditaburkan dengan benda-benda yang harum seperti serbuk kapur barus, kayu cendana, minyak kasturi atau lain-lain.
- Kemudian letakkan mayat di atas kain kapan itu dalam keadaan terlentang. Kedua-dua tangannya dirapatkan ke atas pusat dengan tangan kanan menutup tangan kiri (seperti dalam sembahyang) atau kedua-dua tangan diluruskan.
- Balutlah mayat itu dengan mengkapankannya dari sebelah kiri. Kain sebelah kanan ditindih ke sebelah kiri dan diikat dengan tiga atau lima ikatan. Tali ikatan itu dibuat dengan mengoyakkan sedikit daripada kain kapan tersebut.
- Selepas selesai dikapankan, jenazah hendaklah disembahyangkan.